SUDAH berbelas tahun bekerja di sebalik tembok rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Mohd. Shah Mahmood dan kakitangan di Jabatan Perubatan Forensik sudah lali dengan bermacam jenis mayat yang perlu diperiksa setiap hari.
Ada yang meninggal dunia kerana penyakit, kemalangan, mangsa pembunuhan mahupun bunuh diri.
Mayat yang diserahkan pula tidak semuanya dalam keadaan lengkap. Ada yang sudah reput, berulat, rentung, hancur, putus anggota badan malah ada juga yang hanya tinggal rangka.
Lebih dikenali sebagai bedah siasat, bidang perubatan forensik ini sebenarnya memiliki skop tugas yang lebih luas dan misi tugas yang lebih penting. Ia bukan sekadar pemeriksaan mayat.
“Sebaliknya prosedur ini dijalankan untuk mengetahui punca kematian serta mengenal pasti identiti si mati,” ujar Mohd. Shah yang merupakan Pengarah Institut Perubatan Forensik Negara, HKL.
Mendokumenkan mayatSebagai cabang kepada bidang perubatan yang berkaitan dengan undang-undang, beliau menambah, hasil daripada bedah siasat atau perubatan forensik ini mampu membantu pihak polis menyelesaikan penyiasatan kes-kes kematian.