Wednesday, 9 May 2012

MANUSIA BERSELERE PELIK





PENYAKIT pelik yang dipanggil Pica menyebabkan seorang jururawat pergigian dari England, Kerry Trebilcock, 21, menjadikan span pencuci dan sabun sebagai menu hariannya.

Malah, sejak mengalami penyakit itu pada tahun 2008 dia telah memakan lebih 4,000 span pencuci dan 100 buku sabun.

Baginya, rasa kedua-dua 'hidangan' itu sama seperti makanan ringan yang sedap dicicah sos.

Dia juga gemar mencubit span pencuci dalam saiz kecil seperti biskut sebelum dicelup ke dalam air teh atau coklat panas.

Bukan sekadar span pencuci, sabun organik berbau lemon dan limau nipis juga menjadi obses gadis aneh itu.

"Jika sedang mandi di dalam bilik air sekali pun saya akan memakan sabun itu," katanya.

Ujarnya lagi, sekiranya keluar bersiar-siar pula, kedua-dua makanan rutin itu akan dibungkus untuk dibawa bersama.

Tabiat

"Sebagai penambah perisa, beberapa biji tomato dan sos tidak pernah dilupakan sebelum saya memakannya di luar rumah," kata Trebilcock tanpa berselindung.

Hakikatnya, penyakit Pica membuatkan penghidap ketagih makan besi, arang, pasir, kapur malah lebih buruk lagi mentol lampu dan perabot.

Namun, tabiat makan yang pelik itu juga menjadi punca Trebilcock sering mengalami sakit perut dan cirit-birit.

Span pencuci kebiasaannya diperbuat daripada serat kayu selulosa atau polimer plastik.

Sabun organik antara bahan utamanya ialah minyak zaitun, minyak kelapa sawit, gliserin dan campuran herba.

Trebilcock memberitahu, jika membeli-belah di pasar raya, dia akan membeli 40 ketul span pencuci dan sabun organik.

"Juruwang pasar raya berkenaan selalu memuji dengan mengatakan saya wanita yang mementingkan kebersihan," cerita Trebilcock.

Wanita ini pernah berjumpa dengan doktor pakar untuk merawat tabiat pemakanannya itu.

Doktor itu memberitahu bahawa Trebilcock menghidap penyakit Pica. Jika dia tidak segera menghentikan tabiat itu ia boleh menyebabkan sistem tubuh Trebilcock terjejas.

"Walaupun kerap mengikuti program kaunseling selain mengambil pil suplemen, situasinya masih sama. Saya akan makan span dan sabun sekurang-kurangnya tiga kali sehari

"Tetapi saya banyak berbincang dengan individu lain yang menghidap penyakit yang sama melalui forum di Internet. Ada dalam kalangan mereka yang makan tayar kereta, sudu dan perabot," ceritanya.

Hakikatnya, penyakit Pica dialami oleh ramai orang. Tahun lepas, akhbar melaporkan seorang ibu beranak lima dari Miami, Amerika Syarikat, Adele Edwards, 31, obses memakan kusyen sofa sejak berusia 10 tahun.

Terapi

Edwards memberitahu, dia telah makan hampir 190 kilogram kusyen hinggakan doktor memberi amaran bahawa ketagihan itu boleh menyebabkan dia meninggal dunia.

Di daerah yang sama, seorang gadis berusia 19 tahun turut menghidap penyakit ganjil itu. Gadis itu ketagih makan serbuk pencuci.

Tempestt Henderson pula akan memakan lima ketul sabun dan serbuk pencuci dalam seminggu.

"Rasa sabun dan serbuk pencuci itu amat manis," katanya yang merupakan seorang pelajar kejururawatan.

Selepas enam bulan memakan sabun, Henderson menemui doktor untuk cuba mengubati ketagihannya.

Doktor yang merawatnya menggunakan kaedah terapi bagi mengubati penyakit itu.

Dia diminta mengingati benda lain semasa dia berasa mahu makan sabun.

Selain itu, dia juga digalakkan pergi berjalan-jalan dan mengelak daripada mengunjungi tempat yang mengandungi sabun seperti bilik mandi dan kedai dobi.

Henderson menjadi penagih sabun dan serbuk pencuci selepas dia berpisah dengan kekasihnya hanya kerana mereka belajar di kolej yang berlainan. - AgenSI


Credit To KOSMO

No comments:

Post a Comment