Mat Komando
NAMA: Ahmad Mohd Arshad @ Mat
Arshad
ALAMAT TERAKHIR DIKESAN: LLM 30
Kampung Selengkoh Tengah, Yan, Kedah tetapi dikatakan berasal dari Parit
Panjang, Baling, Kedah.
GELARAN: Mat Komando, Mat Spring.
Dilabel juga sebagai penjenayah paling ganas, kebal, licik ala Robin Hood.
KOD OPERASI: Ops Api Sawit dan
Ops Api Sawit 2
GANAS: Mula sejak akhir 2001 dan
mangsa pertama adalah pemborong kelapa sawit.
JENAYAH: Lebih 40 rompakan
bersenjata membabitkan bank, pemborong kelapa sawit, pengurup wang, kedai pajak
gadai dan individu. Juga dikatakan terbabit dengan cubaan membunuh dan dua kes
curi motosikal.
KAWASAN KEGIATAN: Perak, Kedah,
Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor
TUMPAS: 12 September 2002 dalam
serbuan polis di Felcra Kampung Hujung Keton, Pendang, Kedah.
Keheningan subuh di Felcra
Kampung Hujung Ketun, Pendang, Kedah, pada 12 September 2002, diganggu dengan
dentuman berdas-das tembakan senjata api.
Ketika itu jam menunjukkan
sekitar 6.30 pagi, kebanyakan penghuni kampung yang terletak kira-kira 35
kilometer dari bandar raya Alor Star itu baru bangun untuk menunaikan solat
subuh manakala pelajar bersiap untuk ke sekolah.
Penduduk tidak pun menyangka
bahawa bunyi tembakan itu adalah daripada satu operasi besar dan penting polis
yang dinamakan kod Ops Api Sawit 2 sekali gus menandakan kejayaan menumpaskan
ketua kumpulan penjenayah amat dikehendaki, Kumpulan 13, yang diketuai Mat
Komando atau nama sebenarnya Ahmad Mohd Arshad.
Serbuan sepasukan 10 anggota
polis yang turut disertai Unit Tindakan Khas (UTK) pagi itu mengakhiri
pemburuan pasukan keselamatan terhadap Mat Komando selama 255 hari.
Operasi tragis itu berlangsung
kira-kira sebulan selepas isterinya, Faridah Mat Piah, 34, dan bapa mertuanya,
Md Piah Che Nam, (72 tahun ketika itu), membuat rayuan menerusi temu bual
dengan akhbar Harian Metro, supaya dia menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Beberapa jam selepas operasi itu
tamat, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Norian Mai, mengesahkan bahawa
lelaki yang berbalas tembak dengan polis waktu itu adalah Mat Komando.
Pengumuman itu sekali gus
mengakhiri pemburuan polis ke atas Mat Komando, yang dilancarkan sejak 1
Januari 2002 selepas tiga rakannya terbunuh ketika lari dari sekatan polis di
Kuala Nerang sebelum itu.
Kematian Mat Komando pada pagi
itu berjaya menyelesaikan siasatan polis terhadap Kumpulan 13 yang turut
dikaitkan dengan 52 kes samun bersenjata membabitkan wang tunai lebih RM2.5
juta, dua kes mencuri motosikal dan satu kes cubaan membunuh.
Kumpulan 13 kerap terbabit dalam
beberapa siri rompakan bank terpencil, selain rompakan terhadap pemborong
kelapa sawit, pengurup wang, kedai pajak gadai dan individu. Mereka dipercayai
terbabit dalam 11 rompakan di Perak, lima di Kedah dan masing-masing dua kes di
Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor.
Operasi pada pagi itu juga
menyudahkan satu episod jenayah terancang dengan sembilan anggota Kumpulan 13
ditangkap manakala empat termasuk ketuanya, mati ketika berbalas tembak dengan
polis.
Polis turut menemui sepucuk
pistol jenis Colt .45 dan revolver .22; beberapa butir peluru hidup dan
kelongsong serta wang tunai RM70 pada badan Mat Komando, pagi itu.
Ketika diburu selama lebih 200
hari, polis turut mengesan beberapa taktik penyamaran dilakukan oleh Mat
Komando ketika dalam persembunyian untuk mengelak dikesan termasuk muncul
berjanggut atau jambang ala Taliban serta botak licin (skin head).
Dalam beberapa serbuan polis
sebelum itu, Mat Komando yang bertubuh tegap dan sasa berjaya melepaskan diri
termasuk dalam Ops Api Sawit sebelum itu yang mengorbankan anggota kumpulannya
termasuk abang ipar, Ismail Md Piah, di Bukit Selambau dan Jalan Gubir-Kuala
Nerang pada 1 Januari 2002.
Selepas kejadian itu, Mat Komando
terus berjaya mengelak daripada dikesan polis.
Kali terakhir dia dikesan di
Baling, Kedah, ketika cuba membunuh orang kanannya, Mohd Syukri Husin, 31, yang
bersamanya melepaskan diri daripada kepungan polis di Gemas, Negeri Sembilan,
pada 5 Ogos 2002.
Tindakan itu membuktikan Mat
Komando amat berbahaya kerana selain bersenjata api ketika melakukan samun, dia
tidak akan teragak-agak melepaskan tembakan ke arah sasarannya, hatta cuba
membunuh orang kanannya itu kerana dipercayai akan memberi banyak maklumat
mengenai kegiatannya kepada polis jika dibiarkan hidup.
Dalam tempoh 255 hari itu,
pelbagai andaian dan cerita mengenai ‘kehebatan’ Mat Komando diperkatakan
kerana dia berupaya meloloskan diri daripada kepungan polis termasuk anjing
pengesan.
Mat Komando juga mungkin
mempunyai kelebihan tertentu yang menyebabkan dia licik meloloskan diri,
terutama ketika melarikan diri ke dalam hutan berbekalkan pengalaman dan
kemahirannya sebagai anggota komando sebelum terjerumus ke kancah jenayah.
Antaranya termasuk Mat Komando
memiliki ilmu kebal dan menguasai ‘ilmu selisih’ yang membolehkannya meloloskan
diri tanpa disedari polis walaupun dikepung.
Mat Komando turut mencatat
sejarah dalam fail jenayah polis apabila dikategorikan sebagai penjenayah
‘berhati kering’ apabila berani mendedahkan mukanya dalam kebanyakan kes
rompakan tanpa memakai topeng. Taktik itu memang jarang diamalkan penjenayah
kerana ia menyebabkan mereka mudah dikenali, sekali gus memudahkan polis
menjejakinya.
Modus operandinya ialah sebelum
melakukan kegiatan, Kumpulan 13 akan merompak kereta terutama milik wanita
dipercayai mudah untuk kenderaan itu dilarikan dan selepas misi mereka selesai
ada di antara kenderaan itu dibakar bagi menghilangkan bukti.
Malah, ada yang mendakwa dia
hanya boleh dibunuh ketika kedua-dua kakinya tidak berpijak di tanah.
Dalam banyak perjuangan, sama ada
suci atau sebaliknya, perkara yang paling sukar bagi pihak bertentangan ialah
jika buruannya tidak takut mati.
Teori sama dikatakan menghantui
tentera Amerika Syarikat ketika berperang dengan Taliban di Afghanistan kerana
pejuang itu tidak takut mati dan rela gugur syahid dalam pertempuran.
Mat Komando juga dilaporkan
pernah menzahirkan kepada rakan dan ahli keluarganya bahawa dia lebih rela mati
daripada menyerah diri kepada polis walaupun dia tinggal berseorangan. Subuh 12
September 2002 adalah penyudah kepada episod itu apabila dia ditembak mati
dalam serbuan itu.
KISAH KEDEGILAN MAT KOMANDO
SEBELUM AJALNYA
Pagi itu penduduk Kampung Hujung
Keton di pedalaman Pendang, Kedah, gempar. Mereka terkejut bukan kerana kampung
itu diceroboh kumpulan gajah liar.
Mulanya mereka sangka ia bunyi
senapang patah penduduk kampung menembak musang yang mencuri ayam. Tidak
mungkin pula tuan punya dusun menembak tupai seawal pukul 6.30 pagi. Tembakan
itu berlarutan beberapa ketika sebelum terhenti.
Berita Mat Komando mati ditembak
oleh polis cepat tersebar ke Kampung Tok Sheikh dan Kampung Cina yang terletak
tidak jauh dari situ. Ia kemudian menjadi buah mulut di Kubur Panjang, pekan
Pendang dan akhirnya sampai ke Alor Setar dan Kuala Lumpur sebelum pukul 9
pagi.
Berita Mat Komando atau nama
betulnya Ahmad Md. Arshad, 37, mati ditembak menjadi lebih sahih apabila pihak
polis memaklumkan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai sendiri akan
mengadakan sidang media di Alor Setar pada pukul 11 pagi.
Nama Mat Komando mula popular
apabila dia diburu polis kerana mengetuai kumpulan perompak 13 yang terlibat
dalam 52 rompakan bersenjata di beberapa buah cawangan Bank Simpanan Nasional
(BSN), bank-bank komersial lain dan para pemborong kelapa sawit.
Polis segera melancarkan operasi
khas yang dinamakan “Ops Api Sawit” untuk memberkas anggota-anggota kumpulan
perompak itu.
Pada awal Januari lalu, Mat
Komando terlepas daripada kepungan polis ketika anggota kumpulan itu pulang
daripada “bercuti” bersama keluarga dan teman di sebuah pusat peranginan di
Tasik Pedu.
Abang ipar Mat Komando
bagaimanapun mati ditembak di dalam operasi itu sementara dua lagi rakan mereka
ditembak di Bukit Selambau pada hari yang sama.
Seorang rakannya bersama teman
wanita diberkas ketika berada di dalam bilik hotel peranginan itu.
Mat Komando hilang dalam Hutan
Simpan Pedu yang bersempadan dengan Thailand. Dia dikatakan sudah biasa dengan
kawasan itu kerana pernah terlibat dalam operasi di situ semasa berkhidmat sebagai
anggota komando tentera dahulu.
Operasi besar-besaran
diperhebatkan dengan bantuan unit udara polis, anjing pengesan dan Pasukan
Gerak Am (PGA) termasuk pasukan Senoi Praaq yang mahir dengan selok-belok
hutan.
“Selagi ada air dan terdapat
benda bergerak di dalam hutan, anggota komando boleh hidup,” kata seorang rakan
Mat Komando yang pernah menjadi pegawai tentera di dalam unit komando.
Ketika operasi giat dijalankan di
Hutan Simpan Pedu, seorang anggota kumpulan itu muncul di Pejabat Utusan Alor Setar
untuk menafikan dia bukan lagi buruan polis walaupun gambarnya masih tertera di
dalam carta kumpulan perompak 13.
Malangnya, lelaki berusia lewat
50-an itu ditangkap polis keesokannya setelah gambarnya terpampang di muka
depan Utusan Malaysia. Dia kini menghadapi tuduhan memiliki dan mengedar harta
curi Kumpulan 13 dan telah pun dihadapkan ke mahkamah di Selangor.
Operasi polis bagi mengesan Mat
Komando di hutan Pedu pada awal tahun ini dihentikan selepas kira-kira 10 hari
Mat Komando tidak dapat dikesan.
Polis pada mulanya begitu optimis
penjenayah licik itu mampu ditumpaskan dalam masa beberapa hari sahaja!
Selepas operasi mengesannya
diberhentikan, nama Mat Komando seakan-akan lenyap sehinggalah dia muncul
semula enam bulan kemudian di Gemas Negeri Sembilan pada 28 Julai lalu apabila
sekali lagi dia bolos daripada kepungan polis.
Benarkah Mat Komando mempunyai
ilmu batin hingga kerap dapat terlepas daripada kepungan polis? Inilah yang
kerap ditanya orang.
Mat Komando, anak kedua daripada
lapan beradik dari Kampung Selengkoh, Yan ini bukanlah anggota komando yang
cukup terlatih dan berpengalaman luas kerana kerjayanya di dalam perkhidmatan
tentera hanya selama dua tahun.
Walaupun begitu, pengalaman dalam
bidang ketenteraan telah digunakan dalam “kerjaya” terbarunya itu sebelum dia
menemui ajal pada pagi Khamis lalu.
Mat Komando mati pada pagi Khamis
lalu kerana prinsipnya itu.
No comments:
Post a Comment